Oleh Zaharuddin Abd Rahman
... "Zaharuddin, kamu tahu tak
bagaimana sukarnya pembelajaran Syariah di Universiti Dimasqh ?" kata
rakan sekelas Sarjana Fiqh & Usul Fiqh bernama Toriq.
Pemuda bernama Toriq ini berasal dari
Jordan dan merupakan seorang pelajar yang sering mendapat markah tinggi dalam
setiap subjek yang diambil. Pada semester itu, saya ambil satu subjek dengannya
dan kebetulan guru yang mengajar adalah antara ulama terhebat dalam bidang Usul
Fiqh di Timur Tengah. Beliau adalah Syeikh Prof. Dr Muhammad Fathi Ad-Durayni
yang ketika itu berumur 80 tahun, tetapi mempunyai ingatan dan ilmu Usul Fiqh
yang canggih. Selain itu, beliau juga pernah berkhidmat di Universiti Dimasqh
sebagai Dekan Syariah.
Sebenarnya, saya memang sudah mengetahui
kesukaran tinggi dalam pengajian Syariah di Universiti Dimasqh di Syria sejak
zaman silam sehingga akhir tahun 90 an. (Diberitakan mulai tahun 2004 mereka
mengubah cara untuk meringankan imej sukar itu). Demikian yang disebutkan oleh
guru kami Syeikh Prof Dr Mohammad ‘Uqlah el-Ibrahim ketika memberi kuliah di
dalam kelas Sarjana di Universiti Al-Yarmouk.
Ia disebabkan ulama-ulama hebat yang
mengemudi Fakulti Syariah di sana. Seperti Syeikh Mustafa Az-Zarqa dan Syeikh
Dr Mustafa As-Siba'ie dan ramai lagi.
Sehingga diberitahu sesiapa yang mampu
lulus Sarjana Muda (B.A) Syariah dengan markah sekadar 60 % pun ia sudah
seperti mustahil dan amat luar biasa.
"Bagaimana?" Tanya saya kepada
Toriq.
"Sehingga, jika aku masuk ke sana pun,
aku mungkin lulus tetapi hanya cukup makan sahaja, tetapi jika orang macam kamu
masuk, memang tiada harapan" katanya selamba.
Saya hanya tersenyum mendengar kata-kata
itu.
Memang biasa pelajar-pelajar Arab ini
meninggi diri dan memperlekeh orang bukan ‘Arab. Apatah lagi orang asia seperti
saya.
Tercabar dan Mencabar
Tidak mengapa, entah mengapa perangai saya
agak berbeza dalam semua perkara yang saya minat dan sukai.
Setiap kali saya dicabar atau tercabar
dalam perkara yang saya minati, saya akan menganggapnya sebagai positif dan
sekaligus menambah semangat saya.
Saya memang minat mengaji ilmu Usul Fiqh
Tinggi (advance) ini kerana menyedari keperluannya amat tinggi jika saya ingin
mendapat pahala besar dan berterusan sehingga selepas kematian. Ini kerana ilmu
ini membantu saya memahami bagaimana cara dan keadah mengeluarkan hukum Fiqh
dari dalil yang pelbagai. Selain mengajar saya menghargai dan meraikan
kepelbagaian fatwa.
"Zaharuddin...!! Apa yang engkau
lakukan??!" kata Toriq selepas sama-sama melihat markah kami terpampang di
dinding fakulti Syariah.
Dengan izin Allah, saya muncul pelajar yang
memperolehi markah tertinggi menewaskan seluruh pelajar Arab dari Jordan,
Bahrain, Saudi, Iraq dan Mesir. Kelas peringkat sarjana (MA) untuk subjek ini
tersebut mempunyai sekitar 40 orang pelajar.
Terdapat beberapa pelajar gagal termasuk
pelajar Malaysia.
"Nama kamu boleh dicatat dalam akhbar
universiti ni, tidak pernah ada pelajar bukan arab meraih markah tertinggi
dalam apa jua subjek Sarjana Fiqh sebelum ini" Kata seorang lagi pelajar
Jordan yang bertubuh kerdil. Maaf saya lupa namanya.
Semester Depan
Semester selepas itu, lebih getir. Jika
mengikut jadual, saya tiada pilihan kecuali terpaksa mengambil subjek ‘Isu-isu
Fiqh Kontemporari' (Qadhaya Fiqhiyyah Mu'asiroh) melainkan terpaksa
mengambilnya dengan seorang lagi guru yang dibenci pelajar arab dan bukan arab,
beliau adalah Prof. Dr Abd Naseer Abul Basal kerana sikapnya yang terlalu
‘strict' dalam semakan jawapan dan kerap memberi markah rendah tidak kira
kepada pelajar Malaysia dan arab. Malah ramai yang kerap digagalkannya.
Tanya sahaja mana-mana pelajar Malaysia
lepasan Jordan yang pernah mengambil subjek dengan Dr Abd Naseer ini. Hampir
pasti ramai yang tidak puas hati dengannya. Tetapi saya menyukainya dan beliau
juga selesa dengan saya.
Selagi lagi Toriq memberi amaran kepada
saya apabila tahu saya sedang berfikir untuk mengambil subjek ini.
"Aku betul-betul ikhlas nasihatkan
kamu, jangan ambil subjek dengan Dr Abd Naseer, dia tidak akan beri engkau ilmu
mahupun markah" Katanya serius dalam bahasa arab fushah.
Saya merasa tercabar dengan kanyataan Toriq
lagi, dan tercabar juga dengan ramai rakan arab lain yang sering
menakutkan-nakutkan saya dengan kegagalan.
Saya mengangguk-angguk sahaja. Saya juga
tahu hal kesukaran ini, tetapi saya tiada pilihan kerana jika tidak
mengambilnya pada semester itu, saya akan lewat menamatkan pengajian.
"MasyaAllah, tahniah-tahniah"
kata rakan-rakan arab kepada saya ketika markah ditampal.
Saya katakan kepada Toriq selepas itu :
"Aku suka Dr Abd Naseer, dia adil
dalam memberi markah kepada yang layak. aku perolehi ilmu dan markah
darinya"
Toriq hanya tersenyum pahit dan terus
berlalu.
Alhamdulillah sekali lagi saya mendapat
markah tertinggi, tetapi kali ini saya berkongsi dengan seorang lagi pelajar
Arab. Kami berdua memperolehi markah luar biasa untuk diperolehi dari Dr Abd
Naseer. Ramai yang gagal mencapai markah lulus 70 %. Semua dibawah 70 % adalah
gagal dan perlu mengulang subjek.
Apa rahsianya?
Saya juga tidak tahu rahsianya, cuma saya
sememangnya meminati subjek Fiqh kontemporari dan semua isu-isunya walaupun
sukar dan silibusnya sekitar 2000 muka surat disamping ‘assignment' keseluruhan
sekitar 200 muka surat perlu disiapkan dengan rujukan yang mesti banyak.
Setelah fikir-fikir kembali, mungkin ini
rahsianya.
Oleh kerana Fiqh kontemporari ini sukar,
merangkumi perbincangan detail berkenaan hukum klon, insuran, genetic
engineering, derma organ, penguguran janin dalam pelbagai bentuk, brain death
dan banyak lagi isu kontemporari. Ia menjadi lebih sukar kerana semua bahan di
dalam bahasa arab tinggi dan banyak istilah perbuatan dan sains di dalam bahasa
arab. Namun demikian, saya kerap menjadikannya sebagai bahan untuk terbitan
artikel saya.
Ertinya, saya menulis dan menterjemahkan
bahan-bahan bacaan saya kepada bentuk artikel dan disebarkan melalui dua cara,
pertama melalui internet (pada waktu tersebut saya belum mempuyai blog sendiri,
justeru disebarkan melalui email dan forum-forum islamik), kedua ia disebarkan
melalui kelas.
Saya menawarkan kelas fiqh kontemporari
kepada para pelajar Malaysa yang berada di Irbid pada ketika itu, lalu mereka
yang berminat dengan ilmu datang berbondong-bondong ke rumah saya untuk
mendengar kuliah saya berkenaan topik fiqh kontemporari (terutamanya para
pelajar perubatan).
Melalui cara ini saya terpaksa membuat
kajian dan perlu memahami sebaik mungkin agar ia dapat disampaikan dan difahami
oleh pendengar. Malah perlu juga merujuk kitab-kitab yang tidak termasuk di
dalam silibus pengajian. Ternyata kaedah ini berjaya menguatkan ingatan dan
kefahaman saya dalam setiap subjek hingga akhirnya memudahkan saya menjawab apa
juga bentuk soalan exam yang diberikan. Cubalah..
Tambahan dari itu saya meminati subjek ini
kerana ia amat releven dengan masyarakat semasa. Justeru bagi saya, ia adalah
satu peluang untuk saya mendapat pahala besar bila pulang ke Malaysia nanti.
Saya mesti faham dan memahirkan diri dengan semua tajuk-tajuk tadi bagi
menyebarluaskannya di Malaysia. Ia adalah amal jariah buat hari kematian saya.
Ia menjadikan saya amat bermotivasi mempelajarinya.
Cerita Berbelas Tahun Dahulu
Entah mengapa rupanya sejak dari dulu saya
memang demikian. Jika minat terhadap sesuatu perkara dapat dikembangkan dalam diri
ditambah pula perkara itu amat bermanfaat, kemudian dicabar samada secara
sengaja atau tidak oleh mana-mana pihak, saya akan mengambilnya sebagai
motivasi.
Saya masih ingat 14 tahun dulu, ketika dulu
saya meminati nasyid terutamanya bermain kompang. Ketika saya sedang asyik cuba
memukul kompang itu, tiba-tiba seorang penasyid universiti dan pakar kompang
(penasyid tersebut adalah ahli kumpulan brothers ketika ini) mengatakan cara
pukulan saya kelihatan kurang bakat.
Hasilnya, saya belatih dan berlatih sehingga
saya dipilih untuk bermain kompang bagi persembahan universiti. Penasyid
solonya adalah individu yang menafikan bakat saya tadi.
Kerana saya minat, cuma tatkala itu masih
muda, minat pun menurut peredaran zaman, ketika ini saya tidak lagi minat untuk
bernasyid, cuma masih mendengar nasyid sahaja.
Tulisan Khat
Saya juga minat menulis khat samada khat
diwani, nasakh, thuluth dan lain-lain. Sehingga saya berjumpa seorang senior
yang cantik dan indah tulisan khatnya. Beliau merupakan individu yang sering
terpilih untuk menulis khat (kain rentang dipentas) bagi majlis besar di dewan
universiti dan juga di majalah universiti.
Bila saya tunjukkan bakat saya di depannya,
beliau berkata :-
"Jika tengok jari-jari anta ni,
rasanya jari anta ni bukan jari orang menulis khat, keras" kata Imran
kepada saya.
Saya tercabar, saya berlatih setiap kali
ada waktu kosong. Hasilnya, saya perolehi kontrak menulis ratusan tajuk buku
fotostat (atas kulit keras) di perpustakaan universiti. Mendapat bayaran juga.
Sehingga hari ini tulisan saya boleh dilihat di perpustakaan UM Nilam Puri.
Tulisan saya hari ini lebih baik dari apa yang ada di buku tersebut.
Saya juga menulis khat untuk majalah
universiti dan majlis besar di dewan universiti, menggantikan senior yang sudah
keluar. Saya berjaya buktikan ‘jari keras' saya mampu mencarik adat yang
disebutkan senior tadi. Semuanya kerana minat dan motivasi.
Nak lihat tulisan khat saya?..maaf, tiada
yang boleh saya scan buat masa ini.
Minat amat penting, anda ingin berjaya?..pastikan
ia menjadi minat. Minat boleh datang jika anda punyai ilmu tentang kepentingan
perkara itu untuk anda dan masyarakat. Tanpanya minat tidak berguna. Minat
sesuatu yang tiada manfaat akhirat adalah sia-sia.
Cabaran Bahasa Arab & Sarjana
Saya lulusan Usuluddin pengkhususan tafsir
dan pentadbiran Awam dari Universiti Malaya, Majoriti pelajaran kami di UM
adalah di dalam Bahasa Malaysia. Jika ada subjek yang menggunakan bahasa Arab
pun, jawapan peperiksaan adakalanya masih boleh ditulis dalam bahasa Melayu.
Sebelum menyambung Sarjana (MA) pula, saya
bekerja selama 3 tahun sebagai pendakwah dan penceramah di seluruh Malaysia,
tetapi tidak masuk media dan kerana itu anda tidak mengenali saya. Saya juga
tidak mengulang dan tiada masa untuk praktis menyebabkan bahasa arab saya
semakin hilang dengan dahysatnya.
Semasa berceramah pula, saya sentiasa
mencari bahagian ilmu Islam yang manakah yang kurang dalam masyarakat serta
ilmu apakah pula yang patut seorang ustaz dalami untuk membantu masyarakat.
Hasilnya, saya dapati ilmu Fiqh
kontemporari dan Fiqh Muamalat adalah bahagian ilmu Islam yang masih agak
kurang tumpuan di kalangan ilmuan Islam di Malaysia. Justeru, saya merancang
menumpu di bidang tersebut. Demi mencapainya, saya terpaksa bertukar ke
bahagian Fiqh dan Usul Fiqh bagi ijazah Sarjana di Jordan.
Ini menyebabkan saya terpaksa mengambil
beberapa matapelajaran tambahan. Bahasa Arab saya tercabar. Ramai yang
bertanya,
"tak susah ke?,biasanya orang BA di
Timur Tengah, MA di Malaysia, tapi enta ni terbalik, pastu nak tukar bidang
pula". Kata beberapa rakan saya.
Memang sukar, saya tercabar kerana tiada
kursus Bahasa arab tambahan untuk saya, semuanya perlukan usaha sendiri. Lebih
sukar kerana saya perlu berada di tahap bahasa Arab peringkat Sarjana dan berbahas
semua isu Fiqh dan Usul Fiqh pada tahap Sarjana, bukannya peringkat asas lagi.
Ini tidak mudah kerana saya hanyalah
lulusan BA Usuluddin dan amat kurang penumpuan di bahagian Fiqh dan Usul Fiqh
sebelum ini.
Akan tetapi saya amat berminat dengan subjek
Usul Fiqh dan saya amat menyedari kepentingannya untuk dunia dan akhirat saya.
Tanpa banyak soal, saya perlu mengerah otak dan minda untuk mencapai target
ini.
Akhirnya saya berjaya menamatkan MA saya
dalam tempoh 2 tahun 10 bulan, terlewat sedikit disebabkan diwajibkan mengambil
matapelajaran tambahan selama satu semester.
Bagi perolehi MA dari Jordan atau Timur
Tengah, tempoh paling cepat adalah 2 tahun dan paling lewat adalah 7 tahun. Ini
disebabkan sistem pembelajaran mereka yang perlukan pengajian kelas dan tesis
sekaligus (berbeza MA di UK yang perlukan hanya setahun). Beberapa pelajar Iraq
dan Jordan sudah mencecah 4 tahun namun masih lagi gagal menamatkan pengajian
mereka.
Bahasa Arab saya tercabar, tetapi akhirnya
ketika tesis MA saya di perdebatkan oleh para ilmuan. Bahasa Arab yang saya
gunakan dipuji oleh Syeikh Prof Dr Abd Malik As-Sa'di al-‘Iraqi sehingga beliau
menyangkakan Profesor penyelia saya yang membantu mencipta ayat. Benar, tetapi
80 % tesis itu adalah bahasa yang saya usahakan sendiri dan bukan dari
‘supervisor' saya. Alhamdulillah, tesis itu telah dicetak oleh UIAM press.
Mencabar Demi Ilmu
Yang istimewa di Universiti Al- Yarmouk,
saya dibenarkan mencari sendiri supervisor dan ‘munaqish' (iaitu prof penyemak
tesis)
Saya dicadangkan oleh rakan-rakan ‘Arab
untuk mengambil pensyarah-pensyarah yang mudah lulus untuk penyeliaan tesis.
Saya menolak dan sengaja memilih ulama yang paling unggul dengan ilmu dan
akhlak di Universiti al-Yarmouk, iaitu guru mursyid saya Syeikh Prof Dr. Md
‘Uqlah el-Ibrahim sebagai penyelia dan Prof. Madya Dr xxx sebagai penyelia
kedua (saya rahsiakan namanya agar tidak jatuh mengumpat)
Penyelia kedua ini amat terkenal sangat
‘bias' atau berat sebelah dan menindas semua pelajar bukan Arab. Tanyalah keluaran
Fiqh dari Univeristi Yarmouk, Jordan, pasti mereka akan bersetuju.
Rakan-rakan arab pelik dengan sikap saya.
Saya akan pastikan kualiti tesis saya tidak akan dapat dinafikan oleh Prof.
Madya Dr xxx. Akhirnya, beliau hanya memberikan sedikit komentar dan soalan
mudah ketika ‘viva' berlangsung. Lebih menarik, beliau mengakui banyak manfaat
baru dari tesis saya. Pujian bagi Allah.
Universiti memberikan kebebasan saya untuk
mencadangkan professor penyemak dan pendiskusi tesis. Saya sekali lagi mencabar
ilmu dan memotivasikan diri saya dengan memilih ulama yang sukar-sukar, biar
saya tercabar.
Saya pinta Prof Dr Abd Naseer Abul Basal
sebagai penyemak pertama dan Prof Syeikh Dr Abd Malik As-Sa'di dari Universiti
Mu'tah sebagai penyemak kedua. Alhamdulillah Allah izinkan saya berjaya.
Saya juga sempat membuat semakan ringkas
dengan Syeikh al-Imam Dr. Yusof Al-Qaradawi untuk memastikan kandungan tesis
saya boleh diterima oleh ulama seperti beliau. Alhamdulillah beliau gembira
dengan kandungan tesis saya serta memberikan beberapa ‘mulahazat' atau komentar
ringkas dan beberapa penghargaan.
Cabaran & Motivasi Bahasa Inggeris
Ketika saya pulang dari Jordan, semua minda
saya berbahasa Arab. Bahasa Inggeris sudah hampir pupus dari minda. Menganggur
hanya seminggu selepas pulang dan terus bekerja sebagai Eksekutif &
Kaunselor Syariah di Ingress Corporation. Kerjaya ini tidak banyak membantu
bahasa Inggeris saya, semuanya di dalam bahasa Malaysia.
Beberapa bulan selepas itu, seorang rakan
saya berkata bahawa RHB Islamic Bank baru ditubuhkan dan memerlukan Pengurus
Syariah. Tetapi beliau tidak yakin saya mampu kerana mereka perlukan ‘English'.
Interview juga di dalam ‘English' katanya. Saya terasa tercabar dan dalam masa
yang sama saya memang amat ingin mendalami operasi perbankan Islam semasa
tetapi saya juga risaukan adalah ‘English' yang betul-betul sudah dilupakan.
Saya faham bahasa Inggeris amat penting
bagi seorang pendakwah. Dunia Islam terlalu kurang pendakwah dan ilmuan Syariah
yang mampu menulis dan bertutur di dalam bahasa Inggeris. Sehebat dan sebijak
al-Qaradawi masih tiada kemampuan bertutur dan merujuk mendalam buku berbahasa
Inggeris.
Saya tercabar dan memotivasikan diri.
Perancangan dibuat bagi mencapai misi saya. Rakan dan sahabat saya menasihatkan
jangan terlibat dengan bank kerana ia adalah satu industri yang tidak ‘mercy'
katanya. Tiada belas kasihan kerana kesibukannya akan menghalang saya dari
berdakwah.
Saya berjaya akhirnya berkhidmat di RHB
ISLAMIC Bank Berhad. Dokumen perbankan semuanya di dalam ‘English'. Saya
diperlukan untuk menyemak setiap baris bagi memastikan ketepatannya dengan
hukum Syariah. Tahap ‘English' yang digunakan oleh para peguam dan pegawai bank
untuk semua dokumen perbankan bukanlah sesuatu yang mudah. Khususnya ia mempunyai
banyak istilah-istilah khas yang perlukan huraian lebih lanjut.
Cuma sedikit kekurangannya, di RHB Islamic
Bank saya sering berbincang dan melaporkan tugasan kepada boss saya yang
berbangsa Maleyu, ini menjadikan saya lebih selesa berbahasa Melayu.Namun
apabila saya berpindah kerjaya di Asian Finance Bank Ltd (Qatar Islamic), saya
perlu melapor kerjaa terus kepada CEO yang merupakan warga Bahrain. Semua
meeting dibuat di dalam English, manakala meeting Shariah dilakukan di dalam
Arab sepenuhnya. Satu kerjaya yang sukar tetapi memberikan banyak
kelebihankepada saya kerana dapat mengasah kedua-dua bahasa sekaligus.
English saya di tahap biasa, ujian IELTS
mencatatkan kemampuan bertutur saya hanya pada tahap Band 7. Usaha masih
berterusan bagi meluaskan dakwah di seluruh dunia selepas ini. Untuk perolehi
pahala yang meluas di seluruh dunia, Bahasa Inggeris dan Arab diperlukan. Saya
akan ke sana insyaAllah..Mari bersama saya mengorak langkah. Oraklah langkah
dengan perancangan dan bukan secara spontan TANPA HALA TUJU JELAS.
Motivasi & Saya Lagi
Demikian beberapa coretan peribadi
berkaitan motivasi diri saya. Terlalu banyak sebenarnya, tetapi saya tidak
pandai mengolah, kurang minat menulis hal peribadi dan kekurangan masa. Cuma
atas permintaan dan pertanyaan pengunjung web ini, saya cuba kongsikan apa yang
sempat dan mampu.
Semua manusia perlukan motivasi. Nabi
Muhammad s.a.w diberikan motivasi melalui Isra Mikraj.
Nabi Ibrahim juga memohon motivasi dari
Allah. Lihat bagaimana permohonan Nabi Ibrahim :-
وَإِذْ قَالَ إِبْرَاهِيمُ رَبِّ أَرِنِي كَيْفَ تُحْيِـي الْمَوْتَى قَالَ أَوَلَمْ تُؤْمِن قَالَ بَلَى وَلَـكِن لِّيَطْمَئِنَّ قَلْبِي
Ertinya : "Dan (ingatlah) ketika
Ibrahim berkata: ""Ya Tuhanku, perlihatkanlah padaku bagaimana Engkau
menghidupkan orang mati"". Allah berfirman: ""Belum
yakinkah kamu?"". Ibrahim menjawab: ""Aku telah
meyakininya, akan tetapi agar hatiku tetap mantap (dengan imanku)"".
" ( Al-Baqarah : 260 )
Kita semua perlukan motivasi, motivasi yang
unggul adalah motivasi untuk mendapatkan redha dan syurga Allah.
Sebagaimana nabi dan sahabat baginda. Allah
s.w.t mencatatkan betapa bermotivasinya mereka mengejar keredhaan dan syurga
Allah dengan firmannya :-
خِتَامُهُ مِسْكٌ وَفِي ذَلِكَ فَلْيَتَنَافَسِ الْمُتَنَافِسُونَ
Ertinya : "tempat penamat yang harum
semerbak kesturi (syurga); dan untuk yang demikian itu hendaknya orang
berlomba-lomba" ( Al-Mutaffifin :26 )
Lihat Allah s.w.t ingin kita sentiasa
bermotivasi untuk mencapai kebaikan syurga. Berlumba-lumba. Manusia sering
berlumba bagi perolehi nikmat sementara dunia, harta, nama dan pangkat.
Ingatlah sekaya-kaya Lim Goh Tong yang
memiliki billion ringgit wang juga tidak dapat menangguhkannya dari kematian.
Tidak juga boleh merasuah Allah s.w.t untuk memberikan kontrak hidup untuk 3
tahun lagi.
Jadilah dan kejarlah redha dan pahala untuk
kehidupan selepas kematian. Rancanglah dan fikirlah.
Jangan jadikan pujian manusia sebagai
motivasi unggul kerana ia akan mencelamu dikemudian hari.
Jangan jadikan duit sebagai motivasi unggul
kerana ia akan hilang dan habis.
Jangan jadikan pangkat sebagai motivasi
unggul, kerana ia juga akan tamat dan dihasadi.
Jangan jadikan keluarga sebagai motivasi
unggul, kerana ia akan mati jua.
JADIKAN ALLAH, RASULNYA DAN SYURGA YANG
DIJANJIKANNYA SEBAGAI MOTIVASI, NESCAYA ALLAH TIDAK AKAN MATI DAN JANJINYA
TIDAK AKAN MENGECEWAKAN.
Membiarkan orang lain sahaja yang
bermotivasi dalam memperolehi pahala bukanlah sifat orang beriman. Jangan
biarkan kata-kata negatif orang terhadap sesuatu yang baik untuk akhirat anda,
membantutkan semangat. Jadikan ia pendorong dan motivasi.
Web & Motivasi
Saya bermotivasi untuk membuat pengisan di
web ini hanya kerana merasakan ia mampu membantu akhirat saya. Saya dan
keluarga ingin selamat di akhirat, saya ingin selamat di barzakh, saya tahu
saya perlu letih untuk itu.
Saya syukur kerana web yang baru berumur
setahun jagung ini sudah punyai pelawat yang boleh tahan ramainya. Saya amat
gembira kerana melaluinya saya mampu menyampaikan ilmu walaupun saya sedang tidur,
ketika saya sedang bertugas. Setiap detik pelawat memanfaatkan ilmu di web ini.
"Larat enta update web ye," kata
Ust Khairuddin Aman Razali kepada saya ketika bertandang ke Darul Fuqaha untuk
berforum.
Saya menjawab seperti di atas. Gembira
melihat ramai yang sudi membaca dan memanfaatkan tulisan kita, beribu-ribu.
Sukar sekali ceramah boleh dihadiri oleh seribu pendengar. Melalui web saya
berjaya. Ia adalah ilmu yang boleh memanfaatkan saya di barzakh dan akhirat,
insyaAllah. Sebagaimana disebut oleh Nabi s.a.w.
Masih segar di ingatan saya, ketika saya
sedang sibuk bekerja di bank, saya menyuarakan hasrat untuk punyai web sendiri
kepada seorang sahabat yang amat popular di dunia penulisan internet. Sehingga
hari ini blog beliau punyai pelawat yang amat ramai. Tatkala itu saya ‘buta'
ilmu berkenaan blog dan ‘web site' tapi hasrat itu ada. Kerja di bank sudah
berat, ditambah kursus dan ceramah luaran lagi mungkin menyebabkan sahabat ini
berkata
"orang macam anta ni, kurang sesuai
ada web site"
Begitulah isi kandungan kata-kata beliau,
maaf jika lafaznya kurang tepat. Beliau menasihati saya agar tidak melibatkan
diri dalam dunia web kerana katanya:
"web yang tidak kerap diupdate seperti
sesuatu yang telah mati"
begitulah lebih kurang maksudnya yang
meragui kemampuan saya untuk membuat pengisian web disebabkan aktiviti saya.
Telah saya katakan, jika saya minat dan
mendapati sesuatu itu memberi manfaat kepada akhirat saya. Pasti akan saya
lihat ayat-ayat negatif seseorang itu sebagai positif dan motivasi.
Demikian jugalah yang berlaku kepada
nasihat ikhlas sahabat tersebut. Saya anggap sebagai motivasi diri.
Akhirnya saya punyai blog atau ‘website'
sendiri (maaf jika anda ingin berdebat berkenaan kalimah web dan blog, saya
memang tidak ambil kisah akan perbezaannya).
Selain itu, saya luaskan jangkauan web
dengan menubuhkan zaharuddin yahoogroup yang kini dinggotai oleh 2800 orang
sehingga amat sukar untuk saya memberikan jawapan kepada soalan-soalan yang
kebanyakkannya memerlukan huraian.
Sistem sms 33221 ( sistem ini TELAH SAYA
TUTUP SETAKAT INI - 20 april 09) - juga tidak pernah kering dari soalan
pelbagai jenis, email saya juga diserang hebat sehingga menyebabkan forum
percuma saya terbengkalai. Biarlah, sudah ‘over limit' kemampuan manusia biasa.
Biar ia sampai di limit, barulah saya berhenti.
Tugas UIAM & Masa
Bertugas di UIAM, dari satu sudut kelihatan
kurang tugasan berbanding bertugas di industri korporat sebelum ini..tetapi
rupanya tugas saya semakin bertambah. Hari ini Pengerusi, CEO dan orang kuat
sebuah syarikat MLM Bumiputra datang ke UIAM bertemu saya dan rakan baik saya
Dr A.W. Meminta kami membuat sejarah dunia kewangan Islam runcit iaitu dengan
memperkenalkan model Skim MLM Islamik. Mereka kelihatan bersungguh tetapi
‘blank' tentang model alternative MLM, bantuan kami ditagih untuk menggubal
konsep baru MLM.
Saya sudah semakin risau dengan masa saya,
sebuah Bank Islam sudah melantik saya sebagai ‘External Syariah Advisor',
tugasnya banyak sudah tentu. JAKIM melantik saya sebagai panel bengkel
menggubal sukatan Fiqh Muamalat untuk guru takmir seluruh Malaysia, demikian
juga Jabatan Mufti Kedah untuk seluruh tawliah negeri Kedah. Beberapa syarikat
luar Negara sudah mula meminta tarikh untuk memberikan bantuan dan latihan ilmu
Kewangan Islam di sana.
Orang sana minta Kursus Solat, orang sini
minta buat kursus Kewangan & Perbankan Islam, dan orang situ pula minta
buat kursus etika dan budaya kerja Islam. Orang di atas pula minta bentang
kertas kerja di majlis ilmuan Syariah, orang di kanan pula minta semak silibus,
orang di hujung pula minta jadi kolumnis sebuah newsletter berbahasa Inggeris,
orang di tepi pula minta jadi editor luaran majalah. Semuanya hakiki dan
realiti, pengunjung web pula minta "cepat ‘update' ustaz". Penyoal
soalan hukum minta cepat jawab, peminta nasihat kaunseling keluarga, minta
"ustaz cepatlah tolong selesaikan masalah saya, apa saya nak buat?",
dan banyakkkkk lagi.
Ya Allah aku hanya seorang manusia,
permudahkan urusanku demi perolehi redhamu. Berikanku kekuatan membantu mereka
yang memerlukan.
Doakan kami mampu melakukannya untuk ummat.
Jika anda merasakan saya sangat sibuk, NO!, saya belum sibuk berbanding ramai
lagi pejuang Islam di Malaysia dan dunia dalam pelbagai bidang. Saya hanya baru
35 % sibuk berbanding mereka.
Jangan bimbang untuk menjemput dan bertanya
kepada saya. No problem, InshaAllah saya masih mampu mengurus. Itu salah satu
kelebihan yang saya perolehi dari Universiti Malaya dahulu. Belajar melakukan
10 kerja dalam satu masa, dengan siap dan berjaya. Ingin juga saya kongsikan
berkenaan pengalaman tersebut, namun di lain masa. Ia juga adalah dituntut
Islam, sebagaimana Nabi laksanakan pelbagai tanggungjawab dalam satu masa. Anda
juga mesti berkemampuan untuk itu. Anda tentu boleh..
Saya masih ingat, terdapat seorang pelajar
bertanya saya:
"ustaz saya tengok dalam profile
ustaz, banyak betul kerjaya ustaz, mcam mana ustaz manage semuanya? Khususnya
nak pastikan kualiti semua kerja terjamin"
Saya terdiam, tidak tahu dari mana untuk
saya mulakan penerangan. Esoknya saya membuka semula profile saya, memang nyata
agak banyak juga kerja dan tanggungjawab yang dipikul. Tugas itu sebenarnya
belum lengkap dan mash ada yang belum atau tidak saya masukkan.
Namun, belum sampai masa untuk saya
huraikan jawapan kepada soalan pelajar tadi. Sebahagian ulasannya telah pernah
saya kongsikan dengan pelajar-pelara di Morocco semasa berceramah pada awal
April 2009 yang lalu. Semua tugasan itu, boleh diurus jika kita berperancangan
dan bermotivasi. Apa yang penting, rasakan itu sedikit dan masih ramai di luar
sana yang jauh lebih berat dan panjang senarai kerjanya, dan cemerlang. Dengan
melihat seseorang yang lebih berjaya, kita akan terhindar dari sebarang
perasaan ujub dan tertipu oleh Syaitan. Allahumma amen.
Berapa Ramai Doa ?
Akhirnya, jika anda meninggal dunia kelak
berapa ramai yang anda inginkan orang yang menyembahyangkan jenazah anda?.
Sudah tentu kita inginkan lebih ramai bagi perolehi doa mereka.
Motivasikan diri anda bahawa kita tidak
perlu terlalu bergantung kepada doa manusia yang hidup sahaja, malah kita juga
boleh mendapat doa dari yang lain dari manusia berganda-ganda lebih ramai dan
banyak.
Nabi s.a.w menyebut :-
إن اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ وَأَهْلَ السماوات وَالْأَرَضِينَ حتى النَّمْلَةَ في جُحْرِهَا وَحَتَّى الْحُوتَ لَيُصَلُّونَ على مُعَلِّمِ الناس الْخَيْرَ
Ertinya : Sesungguhnya Allah, Malaikatnya,
penduduk langit dan bumi sehinggakan semut di sarangnya dan ikan di lautan akan
pasti mendoakan (kebaikan) buat orang yang mengajar manusia ilmu kebaikan
(Agama)" ( Riwayat At-Tirimizi, 5/50 : Tirmizi : Ghorib, Albani : Sohih).
Al-Mubarakpufi berkata : maksud 'ilmu
kebaikan' dalam hadis ini adalah ilmu agama yang dengannya manusia mendapat
keselamatan di akhirat. ( Tuhaftul Ahwazi, 7/380).
Cukuplah hadis ini menjadi motivasi buat
kita semua untuk berlumba-lumba mengajar kebaikan islam kepada orang lain.
Pastikan anda telah pelajari dan fahami Islam dengan baik sebelum berbuat
demikian.
Demikian coretan ringan saya yang tidak
tersusun. Abaikanlah kelemahan bahasa buat sementara dan fokuskanlah kepada isi
kandungannya, moga bermanfaat untuk dunia dan akhirat anda.
Sekian
Zaharuddin Abd RahmanSee More
Photo: (SHARE KEPADA SAHABAT-SAHABAT, MOGA
BERMANFAAT KEPADA SEMUA ) Sekali Sekala : Saya, Kisah Benar & Motivasi Diri
Oleh Zaharuddin Abd Rahman "Zaharuddin, kamu tahu tak bagaimana sukarnya
pembelajaran Syariah di Universiti Dimasqh ?" kata rakan sekelas Sarjana
Fiqh & Usul Fiqh bernama Toriq. Pemuda bernama Toriq ini berasal dari
Jordan dan merupakan seorang pelajar yang sering mendapat markah tinggi dalam
setiap subjek yang diambil. Pada semester itu, saya ambil satu subjek dengannya
dan kebetulan guru yang mengajar adalah antara ulama terhebat dalam bidang Usul
Fiqh di Timur Tengah. Beliau adalah Syeikh Prof. Dr Muhammad Fathi Ad-Durayni
yang ketika itu berumur 80 tahun, tetapi mempunyai ingatan dan ilmu Usul Fiqh
yang canggih. Selain itu, beliau juga pernah berkhidmat di Universiti Dimasqh
sebagai Dekan Syariah. Sebenarnya, saya memang sudah mengetahui kesukaran
tinggi dalam pengajian Syariah di Universiti Dimasqh di Syria sejak zaman silam
sehingga akhir tahun 90 an. (Diberitakan mulai tahun 2004 mereka mengubah cara
untuk meringankan imej sukar itu). Demikian yang disebutkan oleh guru kami
Syeikh Prof Dr Mohammad ‘Uqlah el-Ibrahim ketika memberi kuliah di dalam kelas
Sarjana di Universiti Al-Yarmouk. Ia disebabkan ulama-ulama hebat yang
mengemudi Fakulti Syariah di sana. Seperti Syeikh Mustafa Az-Zarqa dan Syeikh
Dr Mustafa As-Siba'ie dan ramai lagi. Sehingga diberitahu sesiapa yang mampu
lulus Sarjana Muda (B.A) Syariah dengan markah sekadar 60 % pun ia sudah
seperti mustahil dan amat luar biasa. "Bagaimana?" Tanya saya kepada
Toriq. "Sehingga, jika aku masuk ke sana pun, aku mungkin lulus tetapi
hanya cukup makan sahaja, tetapi jika orang macam kamu masuk, memang tiada
harapan" katanya selamba. Saya hanya tersenyum mendengar kata-kata itu.
Memang biasa pelajar-pelajar Arab ini meninggi diri dan memperlekeh orang bukan
‘Arab. Apatah lagi orang asia seperti saya. Tercabar dan Mencabar Tidak
mengapa, entah mengapa perangai saya agak berbeza dalam semua perkara yang saya
minat dan sukai. Setiap kali saya dicabar atau tercabar dalam perkara yang saya
minati, saya akan menganggapnya sebagai positif dan sekaligus menambah semangat
saya. Saya memang minat mengaji ilmu Usul Fiqh Tinggi (advance) ini kerana
menyedari keperluannya amat tinggi jika saya ingin mendapat pahala besar dan
berterusan sehingga selepas kematian. Ini kerana ilmu ini membantu saya
memahami bagaimana cara dan keadah mengeluarkan hukum Fiqh dari dalil yang
pelbagai. Selain mengajar saya menghargai dan meraikan kepelbagaian fatwa.
"Zaharuddin...!! Apa yang engkau lakukan??!" kata Toriq selepas
sama-sama melihat markah kami terpampang di dinding fakulti Syariah. Dengan
izin Allah, saya muncul pelajar yang memperolehi markah tertinggi menewaskan
seluruh pelajar Arab dari Jordan, Bahrain, Saudi, Iraq dan Mesir. Kelas
peringkat sarjana (MA) untuk subjek ini tersebut mempunyai sekitar 40 orang
pelajar. Terdapat beberapa pelajar gagal termasuk pelajar Malaysia. "Nama
kamu boleh dicatat dalam akhbar universiti ni, tidak pernah ada pelajar bukan
arab meraih markah tertinggi dalam apa jua subjek Sarjana Fiqh sebelum
ini" Kata seorang lagi pelajar Jordan yang bertubuh kerdil. Maaf saya lupa
namanya. Semester Depan Semester selepas itu, lebih getir. Jika mengikut
jadual, saya tiada pilihan kecuali terpaksa mengambil subjek ‘Isu-isu Fiqh
Kontemporari' (Qadhaya Fiqhiyyah Mu'asiroh) melainkan terpaksa mengambilnya dengan
seorang lagi guru yang dibenci pelajar arab dan bukan arab, beliau adalah Prof.
Dr Abd Naseer Abul Basal kerana sikapnya yang terlalu ‘strict' dalam semakan
jawapan dan kerap memberi markah rendah tidak kira kepada pelajar Malaysia dan
arab. Malah ramai yang kerap digagalkannya. Tanya sahaja mana-mana pelajar
Malaysia lepasan Jordan yang pernah mengambil subjek dengan Dr Abd Naseer ini.
Hampir pasti ramai yang tidak puas hati dengannya. Tetapi saya menyukainya dan
beliau juga selesa dengan saya. Selagi lagi Toriq memberi amaran kepada saya
apabila tahu saya sedang berfikir untuk mengambil subjek ini. "Aku
betul-betul ikhlas nasihatkan kamu, jangan ambil subjek dengan Dr Abd Naseer,
dia tidak akan beri engkau ilmu mahupun markah" Katanya serius dalam bahasa
arab fushah. Saya merasa tercabar dengan kanyataan Toriq lagi, dan tercabar
juga dengan ramai rakan arab lain yang sering menakutkan-nakutkan saya dengan
kegagalan. Saya mengangguk-angguk sahaja. Saya juga tahu hal kesukaran ini,
tetapi saya tiada pilihan kerana jika tidak mengambilnya pada semester itu,
saya akan lewat menamatkan pengajian. "MasyaAllah, tahniah-tahniah"
kata rakan-rakan arab kepada saya ketika markah ditampal. Saya katakan kepada
Toriq selepas itu : "Aku suka Dr Abd Naseer, dia adil dalam memberi markah
kepada yang layak. aku perolehi ilmu dan markah darinya" Toriq hanya
tersenyum pahit dan terus berlalu. Alhamdulillah sekali lagi saya mendapat
markah tertinggi, tetapi kali ini saya berkongsi dengan seorang lagi pelajar
Arab. Kami berdua memperolehi markah luar biasa untuk diperolehi dari Dr Abd
Naseer. Ramai yang gagal mencapai markah lulus 70 %. Semua dibawah 70 % adalah
gagal dan perlu mengulang subjek. Apa rahsianya? Saya juga tidak tahu
rahsianya, cuma saya sememangnya meminati subjek Fiqh kontemporari dan semua
isu-isunya walaupun sukar dan silibusnya sekitar 2000 muka surat disamping
‘assignment' keseluruhan sekitar 200 muka surat perlu disiapkan dengan rujukan
yang mesti banyak. Setelah fikir-fikir kembali, mungkin ini rahsianya. Oleh
kerana Fiqh kontemporari ini sukar, merangkumi perbincangan detail berkenaan
hukum klon, insuran, genetic engineering, derma organ, penguguran janin dalam
pelbagai bentuk, brain death dan banyak lagi isu kontemporari. Ia menjadi lebih
sukar kerana semua bahan di dalam bahasa arab tinggi dan banyak istilah
perbuatan dan sains di dalam bahasa arab. Namun demikian, saya kerap
menjadikannya sebagai bahan untuk terbitan artikel saya. Ertinya, saya menulis
dan menterjemahkan bahan-bahan bacaan saya kepada bentuk artikel dan disebarkan
melalui dua cara, pertama melalui internet (pada waktu tersebut saya belum
mempuyai blog sendiri, justeru disebarkan melalui email dan forum-forum
islamik), kedua ia disebarkan melalui kelas. Saya menawarkan kelas fiqh kontemporari
kepada para pelajar Malaysa yang berada di Irbid pada ketika itu, lalu mereka
yang berminat dengan ilmu datang berbondong-bondong ke rumah saya untuk
mendengar kuliah saya berkenaan topik fiqh kontemporari (terutamanya para
pelajar perubatan). Melalui cara ini saya terpaksa membuat kajian dan perlu
memahami sebaik mungkin agar ia dapat disampaikan dan difahami oleh pendengar.
Malah perlu juga merujuk kitab-kitab yang tidak termasuk di dalam silibus
pengajian. Ternyata kaedah ini berjaya menguatkan ingatan dan kefahaman saya
dalam setiap subjek hingga akhirnya memudahkan saya menjawab apa juga bentuk
soalan exam yang diberikan. Cubalah.. Tambahan dari itu saya meminati subjek
ini kerana ia amat releven dengan masyarakat semasa. Justeru bagi saya, ia adalah
satu peluang untuk saya mendapat pahala besar bila pulang ke Malaysia nanti.
Saya mesti faham dan memahirkan diri dengan semua tajuk-tajuk tadi bagi
menyebarluaskannya di Malaysia. Ia adalah amal jariah buat hari kematian saya.
Ia menjadikan saya amat bermotivasi mempelajarinya. Cerita Berbelas Tahun
Dahulu Entah mengapa rupanya sejak dari dulu saya memang demikian. Jika minat
terhadap sesuatu perkara dapat dikembangkan dalam diri ditambah pula perkara
itu amat bermanfaat, kemudian dicabar samada secara sengaja atau tidak oleh
mana-mana pihak, saya akan mengambilnya sebagai motivasi. Saya masih ingat 14
tahun dulu, ketika dulu saya meminati nasyid terutamanya bermain kompang.
Ketika saya sedang asyik cuba memukul kompang itu, tiba-tiba seorang penasyid universiti
dan pakar kompang (penasyid tersebut adalah ahli kumpulan brothers ketika ini)
mengatakan cara pukulan saya kelihatan kurang bakat. Hasilnya, saya belatih dan
berlatih sehingga saya dipilih untuk bermain kompang bagi persembahan
universiti. Penasyid solonya adalah individu yang menafikan bakat saya tadi.
Kerana saya minat, cuma tatkala itu masih muda, minat pun menurut peredaran
zaman, ketika ini saya tidak lagi minat untuk bernasyid, cuma masih mendengar
nasyid sahaja. Tulisan Khat Saya juga minat menulis khat samada khat diwani,
nasakh, thuluth dan lain-lain. Sehingga saya berjumpa seorang senior yang
cantik dan indah tulisan khatnya. Beliau merupakan individu yang sering
terpilih untuk menulis khat (kain rentang dipentas) bagi majlis besar di dewan
universiti dan juga di majalah universiti. Bila saya tunjukkan bakat saya di
depannya, beliau berkata :- "Jika tengok jari-jari anta ni, rasanya jari
anta ni bukan jari orang menulis khat, keras" kata Imran kepada saya. Saya
tercabar, saya berlatih setiap kali ada waktu kosong. Hasilnya, saya perolehi
kontrak menulis ratusan tajuk buku fotostat (atas kulit keras) di perpustakaan
universiti. Mendapat bayaran juga. Sehingga hari ini tulisan saya boleh dilihat
di perpustakaan UM Nilam Puri. Tulisan saya hari ini lebih baik dari apa yang
ada di buku tersebut. Saya juga menulis khat untuk majalah universiti dan
majlis besar di dewan universiti, menggantikan senior yang sudah keluar. Saya
berjaya buktikan ‘jari keras' saya mampu mencarik adat yang disebutkan senior
tadi. Semuanya kerana minat dan motivasi. Nak lihat tulisan khat saya?..maaf,
tiada yang boleh saya scan buat masa ini. Minat amat penting, anda ingin
berjaya?..pastikan ia menjadi minat. Minat boleh datang jika anda punyai ilmu
tentang kepentingan perkara itu untuk anda dan masyarakat. Tanpanya minat tidak
berguna. Minat sesuatu yang tiada manfaat akhirat adalah sia-sia. Cabaran
Bahasa Arab & Sarjana Saya lulusan Usuluddin pengkhususan tafsir dan
pentadbiran Awam dari Universiti Malaya, Majoriti pelajaran kami di UM adalah
di dalam Bahasa Malaysia. Jika ada subjek yang menggunakan bahasa Arab pun,
jawapan peperiksaan adakalanya masih boleh ditulis dalam bahasa Melayu. Sebelum
menyambung Sarjana (MA) pula, saya bekerja selama 3 tahun sebagai pendakwah dan
penceramah di seluruh Malaysia, tetapi tidak masuk media dan kerana itu anda
tidak mengenali saya. Saya juga tidak mengulang dan tiada masa untuk praktis
menyebabkan bahasa arab saya semakin hilang dengan dahysatnya. Semasa
berceramah pula, saya sentiasa mencari bahagian ilmu Islam yang manakah yang
kurang dalam masyarakat serta ilmu apakah pula yang patut seorang ustaz dalami
untuk membantu masyarakat. Hasilnya, saya dapati ilmu Fiqh kontemporari dan
Fiqh Muamalat adalah bahagian ilmu Islam yang masih agak kurang tumpuan di
kalangan ilmuan Islam di Malaysia. Justeru, saya merancang menumpu di bidang
tersebut. Demi mencapainya, saya terpaksa bertukar ke bahagian Fiqh dan Usul
Fiqh bagi ijazah Sarjana di Jordan. Ini menyebabkan saya terpaksa mengambil beberapa
matapelajaran tambahan. Bahasa Arab saya tercabar. Ramai yang bertanya,
"tak susah ke?,biasanya orang BA di Timur Tengah, MA di Malaysia, tapi
enta ni terbalik, pastu nak tukar bidang pula". Kata beberapa rakan saya.
Memang sukar, saya tercabar kerana tiada kursus Bahasa arab tambahan untuk
saya, semuanya perlukan usaha sendiri. Lebih sukar kerana saya perlu berada di
tahap bahasa Arab peringkat Sarjana dan berbahas semua isu Fiqh dan Usul Fiqh
pada tahap Sarjana, bukannya peringkat asas lagi. Ini tidak mudah kerana saya
hanyalah lulusan BA Usuluddin dan amat kurang penumpuan di bahagian Fiqh dan
Usul Fiqh sebelum ini. Akan tetapi saya amat berminat dengan subjek Usul Fiqh
dan saya amat menyedari kepentingannya untuk dunia dan akhirat saya. Tanpa
banyak soal, saya perlu mengerah otak dan minda untuk mencapai target ini.
Akhirnya saya berjaya menamatkan MA saya dalam tempoh 2 tahun 10 bulan,
terlewat sedikit disebabkan diwajibkan mengambil matapelajaran tambahan selama
satu semester. Bagi perolehi MA dari Jordan atau Timur Tengah, tempoh paling
cepat adalah 2 tahun dan paling lewat adalah 7 tahun. Ini disebabkan sistem
pembelajaran mereka yang perlukan pengajian kelas dan tesis sekaligus (berbeza
MA di UK yang perlukan hanya setahun). Beberapa pelajar Iraq dan Jordan sudah
mencecah 4 tahun namun masih lagi gagal menamatkan pengajian mereka. Bahasa
Arab saya tercabar, tetapi akhirnya ketika tesis MA saya di perdebatkan oleh
para ilmuan. Bahasa Arab yang saya gunakan dipuji oleh Syeikh Prof Dr Abd Malik
As-Sa'di al-‘Iraqi sehingga beliau menyangkakan Profesor penyelia saya yang
membantu mencipta ayat. Benar, tetapi 80 % tesis itu adalah bahasa yang saya
usahakan sendiri dan bukan dari ‘supervisor' saya. Alhamdulillah, tesis itu
telah dicetak oleh UIAM press. Mencabar Demi Ilmu Yang istimewa di Universiti
Al- Yarmouk, saya dibenarkan mencari sendiri supervisor dan ‘munaqish' (iaitu
prof penyemak tesis) Saya dicadangkan oleh rakan-rakan ‘Arab untuk mengambil
pensyarah-pensyarah yang mudah lulus untuk penyeliaan tesis. Saya menolak dan
sengaja memilih ulama yang paling unggul dengan ilmu dan akhlak di Universiti
al-Yarmouk, iaitu guru mursyid saya Syeikh Prof Dr. Md ‘Uqlah el-Ibrahim
sebagai penyelia dan Prof. Madya Dr xxx sebagai penyelia kedua (saya rahsiakan
namanya agar tidak jatuh mengumpat) Penyelia kedua ini amat terkenal sangat
‘bias' atau berat sebelah dan menindas semua pelajar bukan Arab. Tanyalah
keluaran Fiqh dari Univeristi Yarmouk, Jordan, pasti mereka akan bersetuju.
Rakan-rakan arab pelik dengan sikap saya. Saya akan pastikan kualiti tesis saya
tidak akan dapat dinafikan oleh Prof. Madya Dr xxx. Akhirnya, beliau hanya
memberikan sedikit komentar dan soalan mudah ketika ‘viva' berlangsung. Lebih
menarik, beliau mengakui banyak manfaat baru dari tesis saya. Pujian bagi
Allah. Universiti memberikan kebebasan saya untuk mencadangkan professor
penyemak dan pendiskusi tesis. Saya sekali lagi mencabar ilmu dan memotivasikan
diri saya dengan memilih ulama yang sukar-sukar, biar saya tercabar. Saya pinta
Prof Dr Abd Naseer Abul Basal sebagai penyemak pertama dan Prof Syeikh Dr Abd
Malik As-Sa'di dari Universiti Mu'tah sebagai penyemak kedua. Alhamdulillah
Allah izinkan saya berjaya. Saya juga sempat membuat semakan ringkas dengan
Syeikh al-Imam Dr. Yusof Al-Qaradawi untuk memastikan kandungan tesis saya
boleh diterima oleh ulama seperti beliau. Alhamdulillah beliau gembira dengan
kandungan tesis saya serta memberikan beberapa ‘mulahazat' atau komentar
ringkas dan beberapa penghargaan. Cabaran & Motivasi Bahasa Inggeris Ketika
saya pulang dari Jordan, semua minda saya berbahasa Arab. Bahasa Inggeris sudah
hampir pupus dari minda. Menganggur hanya seminggu selepas pulang dan terus
bekerja sebagai Eksekutif & Kaunselor Syariah di Ingress Corporation.
Kerjaya ini tidak banyak membantu bahasa Inggeris saya, semuanya di dalam
bahasa Malaysia. Beberapa bulan selepas itu, seorang rakan saya berkata bahawa
RHB Islamic Bank baru ditubuhkan dan memerlukan Pengurus Syariah. Tetapi beliau
tidak yakin saya mampu kerana mereka perlukan ‘English'. Interview juga di
dalam ‘English' katanya. Saya terasa tercabar dan dalam masa yang sama saya
memang amat ingin mendalami operasi perbankan Islam semasa tetapi saya juga
risaukan adalah ‘English' yang betul-betul sudah dilupakan. Saya faham bahasa
Inggeris amat penting bagi seorang pendakwah. Dunia Islam terlalu kurang
pendakwah dan ilmuan Syariah yang mampu menulis dan bertutur di dalam bahasa
Inggeris. Sehebat dan sebijak al-Qaradawi masih tiada kemampuan bertutur dan
merujuk mendalam buku berbahasa Inggeris. Saya tercabar dan memotivasikan diri.
Perancangan dibuat bagi mencapai misi saya. Rakan dan sahabat saya menasihatkan
jangan terlibat dengan bank kerana ia adalah satu industri yang tidak ‘mercy'
katanya. Tiada belas kasihan kerana kesibukannya akan menghalang saya dari
berdakwah. Saya berjaya akhirnya berkhidmat di RHB ISLAMIC Bank Berhad. Dokumen
perbankan semuanya di dalam ‘English'. Saya diperlukan untuk menyemak setiap
baris bagi memastikan ketepatannya dengan hukum Syariah. Tahap ‘English' yang
digunakan oleh para peguam dan pegawai bank untuk semua dokumen perbankan
bukanlah sesuatu yang mudah. Khususnya ia mempunyai banyak istilah-istilah khas
yang perlukan huraian lebih lanjut. Cuma sedikit kekurangannya, di RHB Islamic
Bank saya sering berbincang dan melaporkan tugasan kepada boss saya yang
berbangsa Maleyu, ini menjadikan saya lebih selesa berbahasa Melayu.Namun
apabila saya berpindah kerjaya di Asian Finance Bank Ltd (Qatar Islamic), saya
perlu melapor kerjaa terus kepada CEO yang merupakan warga Bahrain. Semua
meeting dibuat di dalam English, manakala meeting Shariah dilakukan di dalam
Arab sepenuhnya. Satu kerjaya yang sukar tetapi memberikan banyak
kelebihankepada saya kerana dapat mengasah kedua-dua bahasa sekaligus. English
saya di tahap biasa, ujian IELTS mencatatkan kemampuan bertutur saya hanya pada
tahap Band 7. Usaha masih berterusan bagi meluaskan dakwah di seluruh dunia
selepas ini. Untuk perolehi pahala yang meluas di seluruh dunia, Bahasa
Inggeris dan Arab diperlukan. Saya akan ke sana insyaAllah..Mari bersama saya
mengorak langkah. Oraklah langkah dengan perancangan dan bukan secara spontan
TANPA HALA TUJU JELAS. Motivasi & Saya Lagi Demikian beberapa coretan
peribadi berkaitan motivasi diri saya. Terlalu banyak sebenarnya, tetapi saya
tidak pandai mengolah, kurang minat menulis hal peribadi dan kekurangan masa.
Cuma atas permintaan dan pertanyaan pengunjung web ini, saya cuba kongsikan apa
yang sempat dan mampu. Semua manusia perlukan motivasi. Nabi Muhammad s.a.w
diberikan motivasi melalui Isra Mikraj. Nabi Ibrahim juga memohon motivasi dari
Allah. Lihat bagaimana permohonan Nabi Ibrahim :- وَإِذْ قَالَ إِبْرَاهِيمُ رَبِّ أَرِنِي كَيْفَ تُحْيِـي الْمَوْتَى قَالَ أَوَلَمْ تُؤْمِن قَالَ بَلَى وَلَـكِن لِّيَطْمَئِنَّ قَلْبِي Ertinya : "Dan (ingatlah) ketika Ibrahim berkata:
""Ya Tuhanku, perlihatkanlah padaku bagaimana Engkau menghidupkan
orang mati"". Allah berfirman: ""Belum yakinkah
kamu?"". Ibrahim menjawab: ""Aku telah meyakininya, akan
tetapi agar hatiku tetap mantap (dengan imanku)"". " (
Al-Baqarah : 260 ) Kita semua perlukan motivasi, motivasi yang unggul adalah
motivasi untuk mendapatkan redha dan syurga Allah. Sebagaimana nabi dan sahabat
baginda. Allah s.w.t mencatatkan betapa bermotivasinya mereka mengejar
keredhaan dan syurga Allah dengan firmannya :- خِتَامُهُ مِسْكٌ وَفِي ذَلِكَ فَلْيَتَنَافَسِ الْمُتَنَافِسُونَ Ertinya : "tempat penamat yang harum semerbak kesturi
(syurga); dan untuk yang demikian itu hendaknya orang berlomba-lomba" (
Al-Mutaffifin :26 ) Lihat Allah s.w.t ingin kita sentiasa bermotivasi untuk
mencapai kebaikan syurga. Berlumba-lumba. Manusia sering berlumba bagi perolehi
nikmat sementara dunia, harta, nama dan pangkat. Ingatlah sekaya-kaya Lim Goh
Tong yang memiliki billion ringgit wang juga tidak dapat menangguhkannya dari
kematian. Tidak juga boleh merasuah Allah s.w.t untuk memberikan kontrak hidup
untuk 3 tahun lagi. Jadilah dan kejarlah redha dan pahala untuk kehidupan
selepas kematian. Rancanglah dan fikirlah. Jangan jadikan pujian manusia
sebagai motivasi unggul kerana ia akan mencelamu dikemudian hari. Jangan
jadikan duit sebagai motivasi unggul kerana ia akan hilang dan habis. Jangan
jadikan pangkat sebagai motivasi unggul, kerana ia juga akan tamat dan
dihasadi. Jangan jadikan keluarga sebagai motivasi unggul, kerana ia akan mati
jua. JADIKAN ALLAH, RASULNYA DAN SYURGA YANG DIJANJIKANNYA SEBAGAI MOTIVASI,
NESCAYA ALLAH TIDAK AKAN MATI DAN JANJINYA TIDAK AKAN MENGECEWAKAN. Membiarkan
orang lain sahaja yang bermotivasi dalam memperolehi pahala bukanlah sifat
orang beriman. Jangan biarkan kata-kata negatif orang terhadap sesuatu yang
baik untuk akhirat anda, membantutkan semangat. Jadikan ia pendorong dan
motivasi. Web & Motivasi Saya bermotivasi untuk membuat pengisan di web ini
hanya kerana merasakan ia mampu membantu akhirat saya. Saya dan keluarga ingin
selamat di akhirat, saya ingin selamat di barzakh, saya tahu saya perlu letih
untuk itu. Saya syukur kerana web yang baru berumur setahun jagung ini sudah
punyai pelawat yang boleh tahan ramainya. Saya amat gembira kerana melaluinya
saya mampu menyampaikan ilmu walaupun saya sedang tidur, ketika saya sedang
bertugas. Setiap detik pelawat memanfaatkan ilmu di web ini. "Larat enta
update web ye," kata Ust Khairuddin Aman Razali kepada saya ketika
bertandang ke Darul Fuqaha untuk berforum. Saya menjawab seperti di atas.
Gembira melihat ramai yang sudi membaca dan memanfaatkan tulisan kita,
beribu-ribu. Sukar sekali ceramah boleh dihadiri oleh seribu pendengar. Melalui
web saya berjaya. Ia adalah ilmu yang boleh memanfaatkan saya di barzakh dan
akhirat, insyaAllah. Sebagaimana disebut oleh Nabi s.a.w. Masih segar di
ingatan saya, ketika saya sedang sibuk bekerja di bank, saya menyuarakan hasrat
untuk punyai web sendiri kepada seorang sahabat yang amat popular di dunia
penulisan internet. Sehingga hari ini blog beliau punyai pelawat yang amat
ramai. Tatkala itu saya ‘buta' ilmu berkenaan blog dan ‘web site' tapi hasrat
itu ada. Kerja di bank sudah berat, ditambah kursus dan ceramah luaran lagi
mungkin menyebabkan sahabat ini berkata "orang macam anta ni, kurang
sesuai ada web site" Begitulah isi kandungan kata-kata beliau, maaf jika
lafaznya kurang tepat. Beliau menasihati saya agar tidak melibatkan diri dalam
dunia web kerana katanya: "web yang tidak kerap diupdate seperti sesuatu
yang telah mati" begitulah lebih kurang maksudnya yang meragui kemampuan
saya untuk membuat pengisian web disebabkan aktiviti saya. Telah saya katakan,
jika saya minat dan mendapati sesuatu itu memberi manfaat kepada akhirat saya.
Pasti akan saya lihat ayat-ayat negatif seseorang itu sebagai positif dan
motivasi. Demikian jugalah yang berlaku kepada nasihat ikhlas sahabat tersebut.
Saya anggap sebagai motivasi diri. Akhirnya saya punyai blog atau ‘website'
sendiri (maaf jika anda ingin berdebat berkenaan kalimah web dan blog, saya
memang tidak ambil kisah akan perbezaannya). Selain itu, saya luaskan jangkauan
web dengan menubuhkan zaharuddin yahoogroup yang kini dinggotai oleh 2800 orang
sehingga amat sukar untuk saya memberikan jawapan kepada soalan-soalan yang
kebanyakkannya memerlukan huraian. Sistem sms 33221 ( sistem ini TELAH SAYA
TUTUP SETAKAT INI - 20 april 09) - juga tidak pernah kering dari soalan
pelbagai jenis, email saya juga diserang hebat sehingga menyebabkan forum
percuma saya terbengkalai. Biarlah, sudah ‘over limit' kemampuan manusia biasa.
Biar ia sampai di limit, barulah saya berhenti. Tugas UIAM & Masa Bertugas
di UIAM, dari satu sudut kelihatan kurang tugasan berbanding bertugas di industri
korporat sebelum ini..tetapi rupanya tugas saya semakin bertambah. Hari ini
Pengerusi, CEO dan orang kuat sebuah syarikat MLM Bumiputra datang ke UIAM
bertemu saya dan rakan baik saya Dr A.W. Meminta kami membuat sejarah dunia
kewangan Islam runcit iaitu dengan memperkenalkan model Skim MLM Islamik.
Mereka kelihatan bersungguh tetapi ‘blank' tentang model alternative MLM,
bantuan kami ditagih untuk menggubal konsep baru MLM. Saya sudah semakin risau
dengan masa saya, sebuah Bank Islam sudah melantik saya sebagai ‘External
Syariah Advisor', tugasnya banyak sudah tentu. JAKIM melantik saya sebagai
panel bengkel menggubal sukatan Fiqh Muamalat untuk guru takmir seluruh
Malaysia, demikian juga Jabatan Mufti Kedah untuk seluruh tawliah negeri Kedah.
Beberapa syarikat luar Negara sudah mula meminta tarikh untuk memberikan
bantuan dan latihan ilmu Kewangan Islam di sana. Orang sana minta Kursus Solat,
orang sini minta buat kursus Kewangan & Perbankan Islam, dan orang situ
pula minta buat kursus etika dan budaya kerja Islam. Orang di atas pula minta
bentang kertas kerja di majlis ilmuan Syariah, orang di kanan pula minta semak
silibus, orang di hujung pula minta jadi kolumnis sebuah newsletter berbahasa
Inggeris, orang di tepi pula minta jadi editor luaran majalah. Semuanya hakiki
dan realiti, pengunjung web pula minta "cepat ‘update' ustaz".
Penyoal soalan hukum minta cepat jawab, peminta nasihat kaunseling keluarga,
minta "ustaz cepatlah tolong selesaikan masalah saya, apa saya nak
buat?", dan banyakkkkk lagi. Ya Allah aku hanya seorang manusia,
permudahkan urusanku demi perolehi redhamu. Berikanku kekuatan membantu mereka
yang memerlukan. Doakan kami mampu melakukannya untuk ummat. Jika anda
merasakan saya sangat sibuk, NO!, saya belum sibuk berbanding ramai lagi
pejuang Islam di Malaysia dan dunia dalam pelbagai bidang. Saya hanya baru 35 %
sibuk berbanding mereka. Jangan bimbang untuk menjemput dan bertanya kepada
saya. No problem, InshaAllah saya masih mampu mengurus. Itu salah satu
kelebihan yang saya perolehi dari Universiti Malaya dahulu. Belajar melakukan
10 kerja dalam satu masa, dengan siap dan berjaya. Ingin juga saya kongsikan
berkenaan pengalaman tersebut, namun di lain masa. Ia juga adalah dituntut
Islam, sebagaimana Nabi laksanakan pelbagai tanggungjawab dalam satu masa. Anda
juga mesti berkemampuan untuk itu. Anda tentu boleh.. Saya masih ingat,
terdapat seorang pelajar bertanya saya: "ustaz saya tengok dalam profile
ustaz, banyak betul kerjaya ustaz, mcam mana ustaz manage semuanya? Khususnya
nak pastikan kualiti semua kerja terjamin" Saya terdiam, tidak tahu dari
mana untuk saya mulakan penerangan. Esoknya saya membuka semula profile saya,
memang nyata agak banyak juga kerja dan tanggungjawab yang dipikul. Tugas itu
sebenarnya belum lengkap dan mash ada yang belum atau tidak saya masukkan.
Namun, belum sampai masa untuk saya huraikan jawapan kepada soalan pelajar
tadi. Sebahagian ulasannya telah pernah saya kongsikan dengan pelajar-pelara di
Morocco semasa berceramah pada awal April 2009 yang lalu. Semua tugasan itu,
boleh diurus jika kita berperancangan dan bermotivasi. Apa yang penting,
rasakan itu sedikit dan masih ramai di luar sana yang jauh lebih berat dan
panjang senarai kerjanya, dan cemerlang. Dengan melihat seseorang yang lebih
berjaya, kita akan terhindar dari sebarang perasaan ujub dan tertipu oleh
Syaitan. Allahumma amen. Berapa Ramai Doa ? Akhirnya, jika anda meninggal dunia
kelak berapa ramai yang anda inginkan orang yang menyembahyangkan jenazah
anda?. Sudah tentu kita inginkan lebih ramai bagi perolehi doa mereka.
Motivasikan diri anda bahawa kita tidak perlu terlalu bergantung kepada doa
manusia yang hidup sahaja, malah kita juga boleh mendapat doa dari yang lain
dari manusia berganda-ganda lebih ramai dan banyak. Nabi s.a.w menyebut :- إن اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ وَأَهْلَ السماوات وَالْأَرَضِينَ حتى النَّمْلَةَ في جُحْرِهَا وَحَتَّى الْحُوتَ لَيُصَلُّونَ على مُعَلِّمِ الناس الْخَيْرَ Ertinya : Sesungguhnya Allah, Malaikatnya, penduduk langit dan bumi
sehinggakan semut di sarangnya dan ikan di lautan akan pasti mendoakan
(kebaikan) buat orang yang mengajar manusia ilmu kebaikan (Agama)" (
Riwayat At-Tirimizi, 5/50 : Tirmizi : Ghorib, Albani : Sohih). Al-Mubarakpufi
berkata : maksud 'ilmu kebaikan' dalam hadis ini adalah ilmu agama yang dengannya
manusia mendapat keselamatan di akhirat. ( Tuhaftul Ahwazi, 7/380). Cukuplah
hadis ini menjadi motivasi buat kita semua untuk berlumba-lumba mengajar
kebaikan islam kepada orang lain. Pastikan anda telah pelajari dan fahami Islam
dengan baik sebelum berbuat demikian. Demikian coretan ringan saya yang tidak
tersusun. Abaikanlah kelemahan bahasa buat sementara dan fokuskanlah kepada isi
kandungannya, moga bermanfaat untuk dunia dan akhirat anda. Sekian Zaharuddin
Abd Rahman
No comments:
Post a Comment